SHAH ALAM 31 Julai – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan para pengundi yang akan mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis supaya merancang masa dan tidak memilih untuk keluar mengundi di saat-saat akhir walaupun tempoh masa pengundian dilanjutkan sehingga pukul 5.30 petang.
Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Othman Mahmood berkata, pengundi juga diminta membuat semakan maklumat daftar pemilih lebih awal sebelum hari pengundian.
Katanya, semakan awal perlu bagi memudahkan pengundi merancang perjalanan dan menggelakkan mereka menghadapi masalah kesesakan di pusat mengundi khususnya di barung semakan SPR.
“Bagi pengundi yang telah mengetahui maklumat berkenaan, mereka tidak perlu menyemaknya lagi di barung SPR. Mereka hanya perlu mencatat maklumat seperti pusat dan saluran mengundi serta nombor bilangan pemilih.
“Oleh demikian, kita menyeru supaya semua pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada Sabtu ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










