KUALA LUMPUR 27 Julai – Dakwaan kewujudan dua kem di dalam PKR semakin jelas kebenarannya apabila kini tular satu poster kempen pemilihan parti yang menyaksikan terpapar gambar calon Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli serta beberapa pengikut mereka.
Poster itu seperti mengesahkan bahawa satu kem lagi diketuai oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ekoran gambarnya tidak terdapat dalam poster yang ditular berkenaan.
Malah Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yang sebelum ini dilaporkan berada dalam kem yang sama dengan Mohamed Azmin, turut tidak terdapat dalam poster tersebut.
Poster yang ditular itu turut menyenaraikan Jawatankuasa Majlis Pimpinan Pusat PKR sesi 2018-2021 bayangan yang diketuai Anwar sebagai Presiden.
Dalam poster itu lagi, Rafizi diletakkan sebagai Timbalan Presiden sementara empat jawatan Naib Presiden diduduki oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga anak sulung Anwar, Nurul Izzah; Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan.
Ketua Wanita pula diduduki oleh Fuziah Salleh, Timbalan Ketua Wanita oleh Rodziah Ismail manakala jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) oleh Akmal Nasir dan Timbalan Ketua AMK oleh Raymond Ahuar.
Apa yang mengesahkan lagi kewujudan dua kem berkenaan adalah apabila poster yang seakan sama turut dimuat naik oleh Rafizi dalam akaun Twitter beliau hari ini untuk menguar-uarkan program berkaitan pemilihan parti yang akan diadakan di Hotel De Palma, Ampang Ahad ini.
Bersama dengan muat naik poster berkenaan, Rafizi berkata, kalah atau menang bukan perkiraan yang besar bagi beliau, sebaliknya adalah amanah untuk mempertahankan idealisme reformasi yang melahirkan PKR perlu digalas oleh seseorang.
“Saya tahu itu satu beban yang berat kerana saya bukanlah berjawatan kerajaan atau berduit.
“Saya bukanlah yang terbaik daripada kalangan pimpinan. Ada lagi pemimpin yang lebih tua, ada juga yang lebih hebat. Cuma kali ini, amanah membawa gagasan reformasi setelah PKR berjaya membentuk kerajaan dengan rakan Pakatan Harapan yang lain, adalah beban saya yang perlu dipikul,” katanya.
Tambahnya, beliau hanya bergantung kepada sokongan rakan-rakan akar umbi parti yang hidup tidak berubah sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Saya akan turun berjumpa seberapa ramai aktivis akar umbi PKR. Saya sudi mendengar, sudi ditegur, sudi meminta maaf dan sudi mencadangkan bagaimana membina parti reformasi yang kekal pada idealisme dan menyanjung aktivis di bawah lebih tinggi daripada tunduk kepada jawatan di atas,” katanya.










