JOHOR BAHRU 29 Julai – Polis berjaya menyelamatkan seorang lelaki warganegara India yang diculik sekumpulan lelaki dalam serbuan di sebuah rumah tumpangan di Tampoi, di sini petang semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd., berkata, mangsa berusia 28 tahun itu diselamatkan oleh sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah negeri pukul 4.30 petang.
Beliau berkata, maklumat penculikan itu diterima daripada Pejabat Kedutaan India yang kemudiannya disalurkan kepada Ketua Unit Perhubungan Antarabangsa Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Rakan mangsa, iaitu seorang lelaki warganegara India juga telah membuat laporan polis di Shah Alam, Selangor pukul 12.49 tengah malam semalam.
“Keluarga mangsa ada membuat laporan polis di India setelah menerima mesej tuntutan wang tebusan daripada penculik berkenaan berjumlah RM200,000 dan diancam bunuh jika gagal membayar wang berkenaan.
“Susulan laporan berkenaan, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Khas D9 IPK negeri dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara telah membuat serbuan di sebuah bilik di rumah tumpangan berkenaan dan menemui mangsa dalam keadaan terikat dan dikawal oleh tiga lelaki warganegara Pakistan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.
ohd. Khalil berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 26 hingga 29 tahun itu kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 3 Akta Culik, manakala mangsa yang tidak mengalami kecederaan telah dihantar untuk menerima rawatan di hospital.
Katanya, pihak Kedutaan India akan dimaklumkan berhubung kejayaan pihaknya menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh tidak sampai 24 jam. – UTUSAN ONLINE








