Polis pelbagaikan usaha selesai krisis politik Sabah - Utusan Malaysia

Polis pelbagaikan usaha selesai krisis politik Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUDAT 19 Julai – Polis Sabah sedang melakukan pelbagai usaha bagi menyelesaikan krisis politik di negeri ini khususnya membabitkan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang dilaporkan berada di London.

Datuk Ramli Din
Datuk Ramli Din

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, siasatan masih dijalankan dalam pelbagai peringkat untuk diselesaikan.

“Kita telah melakukan pelbagai usaha untuk menyelesaikan perkara ini. Tetapi saya tidak mahu mengulas lanjut kerana perkara ini telah dinyatakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

“Namun siasatan dan kegiatan pihak polis masih berjalan seperti biasa,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja Pesuruhjaya Polis Sabah di Ibu Pejabat Polis Daerah Kudat, di sini, hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai kemungkinan Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez yang juga anak Musa turut berada di London bersama bapanya, Ramli berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan tersebut.

“Boleh jadi dia bersama bapanya, kami tidak menolak perkara tersebut,” katanya.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Musa dilaporkan ke Kuala Lumpur pada 14 Mei, dua hari selepas Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Pada 26 Jun lalu, Musa mengesahkan beliau berada di London, United Kingdom, atas urusan perubatan dan peribadi sekali gus mengesahkan beliau meninggalkan Malaysia secara sah pada 16 Mei lalu.

Yamani Hafez pula tidak hadir mengangkat sumpah jawatan di Dewan Rakyat pada hari pertama Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-14 tanpa menyatakan sebarang notis pemberitahuan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN