Polis cekup tiga lelaki selepas disyaki miliki dadah - Utusan Malaysia

Polis cekup tiga lelaki selepas disyaki miliki dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERIAN – Tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah ditahan menerusi satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Seberang, Sebuyau dekat sini tengah malam tadi.

Serbuan kira-kira 12.30 tengah malam itu dilakukan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, serbuan serta tangkapan itu dilakukan hasil maklumat awam dan risikan polis yang dilakukan sebelum ini.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek yang ditahan berkenaan berusia antara 26 hingga 38 tahun.

“Semasa serbuan dijalankan, kesemua suspek cuba melarikan diri, namun berjaya dicekup oleh anggota polis yang membuat kawalan di bahagian belakang rumah berkenaan.

“Pemeriksaan yang dilakukan kemudian menemui satu beg kecil yang mengandungi dua paket plastik lutsinar kecil dan 12 keratan tiub straw berisi serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu atau methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan akhbar sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Aswandy memberitahu, ujian air kencing yang dijalankan juga mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, siasatan lanjut mendapati seorang daripada suspek itu mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 6(2)(c) Akta Penagihan Dadah (APD) 1983.

“Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman mulai hari ini sehingga 31 Julai depan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” ujarnya lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN