Polis cekup 99 individu disyaki terlibat perjudian haram - Utusan Malaysia

Polis cekup 99 individu disyaki terlibat perjudian haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING – Seramai 99 individu dicekup selepas disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian haram menerusi 67 serbuan berasingan yang dilakukan sepanjang minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner, Denis Leong Soon Kuai berkata, kesemua suspek yang ditahan dalam serbuan mulai 23 hingga 29 Julai lalu berusia antara 16 hingga 63 tahun.

Menurutnya, semua serbuan itu telah dilakukan di Kuching, Padawan, Sibu, Miri, Bintulu, Kota Samarahan, Bau, Limbang, Maradong, Serian, Sarikei, Kapit, Saratok, Sri Aman, Lawas, Matu Daro, Lundu dan Song.

“Daripada 67 serbuan itu, 12 serbuan melibatkan judi dalam talian, jual nombor loteri haram (50), judi di tempat terbuka (3) dan masing-masing satu serbuan di rumah serta gelanggang sabung ayam.

“Polis berjaya merampas wang tunai sebanyak RM16,559 disyaki hasil perjudian haram itu selain 22 unit telefon serta tablet dan kertas pertaruhan yang digunakan untuk menjalankan jenayah tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Denis memberitahu, tangkapan dan kejayaan serbuan berkenaan adalah hasil maklumat awam dan risikan polis yang dilakukan.

Katanya, susulan pembukaan Bilik Gerakan Khas bagi membanteras kegiatan perjudian haram di negeri ini, pihaknya telah menerima 25 maklumat mengenai aktiviti jenayah tersebut.

“23 daripada 25 maklumat yang diterima itu tepat, malah membawa kepada kejayaan serbuan dan tangkapan serta rampasan yang dilakukan, manakala dua lagi (maklumat judi haram) sedang dalam proses risikan.

“Kes itu disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Ordinan Mencegah Kezaliman Terhadap Haiwan 1962,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN