Pesakit warga emas maut ambulans terbabas - Utusan Malaysia

Pesakit warga emas maut ambulans terbabas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Seorang pesakit warga emas maut manakala lima lagi cedera selepas ambulans dinaiki dari Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani terbabas dipercayai akibat tayar pancit di Kilometer 81.4 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Gurun dekat sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 6.25 petang itu berlaku ketika ambulans tersebut dalam perjalanan menghantar pesakit terbabit, Hussain Lee Abdullah, 65, ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut ekoran masalah jangkitan yang serius.

Akibat kemalangan itu, semua mangsa melibatkan pesakit dan isterinya, Safiah Jasin, 60, serta empat lagi iaitu pemandu ambulans, pegawai perubatan, jururawat terlatih dan pembantu perawat kesihatan mengalami kecederaan dan dikejarkan ke HSB dan HSAH untuk rawatan.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, keadaan pesakit itu merosot dan meninggal dunia pada pukul 8.40 malam hari yang sama.

“Lima mangsa lagi yang cedera berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, adik ipar kepada Hussain Lee, Norhafizoh Jasin, 50, berkata, abang iparnya yang merupakan seorang mualaf itu dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman pada kepala dan dijadualkan menjalani pembedahan di HSB. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN