ALOR SETAR 19 Julai – Seorang pesakit maut manakala lima lagi cedera selepas ambulans dinaiki terbabas di Kilometer 81.4, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara berhampiran Gurun dekat sini semalam.
Dalam kejadian pukul 6.25 petang itu, ambulans tersebut dalam perjalanan menghantar seorang warga emas iaitu pesakit, Hussain Lee Abdullah, 65, ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dari Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Akibat kemalangan itu, semua mangsa termasuk pesakit terbabit dan isteri, Safiah Jasin, 60, serta empat lagi iaitu pemandu ambulans, pegawai perubatan, jururawat terlatih dan pembantu perawat kesihatan mengalami kecederaan dan dikejarkan ke HSB dan HSAH untuk rawatan lanjut.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, bagaimanapun keadaan kesihatan Hussain merosot dan meninggal dunia pada pukul 8.40 malam hari sama.
“Lima lagi mangsa yang cedera berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, maklumat awal menyatakan kemalangan dipercayai berlaku akibat tayar pancit namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan polis.
“Selain polis, Kementerian Kesihatan juga akan menjalankan siasatan terperinci termasuk menyemak aspek berkaitan ambulans tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, adik ipar kepada Hussain Lee, Norhafizoh Jasin, 50, berkata, abang iparnya yang merupakan mualaf itu dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman di kepala dan dijadualkan menjalani pembedahan di HSB.
“Kali terakhir saya bertemu dengannya di HSAH sehari sebelum kemalangan dan ketika itu, dia sedar seperti biasa namun tidak boleh bercakap kerana sakit pada bahagian kerongkong,” katanya.
Menurutnya, isteri Hussain, Safiah hanya cedera ringan dan telah dibenarkan pulang ke rumah dan Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Daun, Yan hari ini.










