Perundangan khas, cegah kes kahwin bawah umur - Vui Keong - Utusan Malaysia

Perundangan khas, cegah kes kahwin bawah umur – Vui Keong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Julai – Kerajaan sedang mengkaji secara teliti untuk menguatkuasakan undang-undang bagi menghalang kes perkahwinan melibatkan kanak-kanak bawah umur di negara ini berulang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, kes perkahwinan melibatkan kanak-kanak berusia 11 tahun baru-baru ini tidak sewajarnya berlaku malahan perlu dihentikan segera untuk mengelakkan kanak-kanak terus menjadi mangsa.

Beliau berkata, selain undang-undang khas mencegah perkahwinan bawah umur, Jabatan Perundangan JPM juga  sedang mengkaji beberapa set kriteria undang-undang yang sudah tidak lagi relevan dengan senario semasa.

“Selepas dilantik memegang portfolio undang-undang, saya diarahkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya kaji semula undang-undang yang tidak lagi relevan antaranya denda RM25 bagi kesalahan dilakukan dan apa-apa undang-undang yang menekan rakyat.

“Tumpuan utama kami kini, mengkaji keperluan undang-undang sedia ada bagi mengelak perkahwinan libatkan kanak-kanak bawah umur sedangkan peraturan semasa membenarkan usia berkahwin mestilah 16 tahun ke atas. Namun ia tertakluk kepada keizinan ibu  bapa,” katanya dalam ucapan dalam majlis Malam Apresiasi Sogo Touch Chariti dan Rakan Niaga 2018 di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Urusan Sogo, Datuk Andrew Lim.

Dalam majlis tersebut, seramai 156 rakan niaga terpilih dan aktif diraikan apabila mencapai sasaran jualan yang ditetapkan.

Antaranya sebanyak 106 rakan niaga melepasi sasaran nilai jualan RM1 juta menerima Anugerah Emas; 35 penerima Anugerah Platinum (lebih RM2 juta) dan satu penerima Super Blue Diamond dengan hasil jualannya lebih RM10 juta bagi tahun kewangan 2017/2018. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN