Pertandingan tiga penjuru di PRK DUN Sungai Kandis - Utusan Malaysia

Pertandingan tiga penjuru di PRK DUN Sungai Kandis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Parti Keadilan Rakyat, Barisan Nasional (BN) dan calon Bebas pada 4 Ogos depan.

Pegawai Pengurus Bahagian PRK DUN Sungai Kandis, Datuk Ahmad Zaharin Mohd. Saad ketika mengumumkan pencalonan itu berkata, pihaknya telah menerima tiga kertas pencalonan bagi kerusi DUN berkenaan.

“Pada PRK DUN Sungai Kandis akan ditandingi Mohd. Zawawi Ahmad Mughni daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, K. Murthy,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas proses penamaan calon bagi DUN berkenaan di Dewan Besar Tanjong Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebentar tadi.

Ahmad Zaharin berkata, tiada borang pencalonan yang ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk kerusi berkenaan hari ini.

Pencalonan Mohd. Zawawi, 48, dicadang Azwan Mat Amid dan disokong Siti Anum Tawil. 

Bagi Lokman, 45, pencalonannya dicadang Musalis Abdullah dan disokong Hairudin Mohd. Ali.

Calon bebas Murthy, 58, pula dicadang M. John Vadivellan dan disokong S. Shirley Anne.

Sementara itu, kira-kira 500 penyokong daripada kedua-dua parti hadir seawal pukul 7.30 pagi di pusat penamaan berkenaan bagi memberi sokongan kepada calon yang mewakilj parti masing-masing.

Bagi parti PKR, antara yang hadir ialah Presiden, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.

Hadir memberi sokongan kepada Lokman pula ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad, Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pergerakan Pemuda, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, akibat kanser limfoma, 2 Julai lalu.
  
Pada 9 Julai lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Sabtu ini sebagai tarikh penamaan calon PRK DUN Sungai Kandis manakala hari pengundian ditetapkan pada 4 Ogos depan. 

Seramai 51,230 pemilih layak mengundi bagi PRK DUN Sungai Kandis yang ketika ini kosong selepas kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma tahap empat, 2 Julai lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu, Shuhaimi yang mewakili PKR mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) untuk penggal ketiga berturut-turut dengan memperoleh 23,998 undi menentang calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518), calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

Ia adalah PRK pertama diadakan selepas Pakatan Harapan (PH) menubuhkan kerajaan apabila memperoleh kerusi majoriti pada PRU-14. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN