KUALA TERENGGANU 1 Julai – Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus baharu, Apli Yusoff berazam mengembalikan perpaduan dalam kalangan kalangan pemimpin lama dan baru untuk bergerak bersama ahli agar dapat bangkit meraih keyakinan semula rakyat terhadap UMNO.
![]() |
|
APLI
|
Katanya, persoalan itulah yang selama ini melemahkan keupayaan UMNO di peringkat bahagian dan membuka ruang kepada parti lawan , dan walaupun berdepan tanggungjawab cukup sukar berat, gerak kerja untuk menyelesaikan segala ‘masalah dalam rumah’ akan diberi penekanan.
“Ini dengan memulihkan hubungan kalangan pemimpin lama dan baharu yang sebelum ini jauh dan terpinggir akibat kekalahan dan kemenangan dalam pertandingan,” ujarnya yang sebelum ini dilihat tidak banyak dilibatkan untuk berperanan di peringkat bahagian.
Beliau yang mengatasi pencabarnya, bekas menteri besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang juga pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, tidak timbul soal kalah menang kerana apa yang lebih penting adalah membentuk perpaduan sebagai asas penting untuk UMNO bangkit di Kuala Nerus.
“Kemenangan yang dimiliki bukanlah kemenangan mutlak sebaliknya hanyalah perubahan kepemimpinan untuk mencorak hala tuju parti setelah UMNO mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
“Ini masa yang paling sesuai. Kami akan memulakan langkah menyatu-padukan agar semua memainkan peranan dan tanggungjawab bersama,” katanya kepada pemberita.
Dalam perkembangan sama, beliau akan melantik Ahmad Razif sebagai ahli jawatankuasa bahagian Kuala Nerus di samping Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir.
“Saya menghormati beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir dan memberi jaminan akan meneruskan pelantikan beliau ke jawatan itu,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Razif menerima keputusan yang dibuat perwakilan dengan berlapang dada.
“Adat pertandingan, ada yang menang dan ada yang kalah. Ini bukti demokrasi masih menebal dalam parti UMNO.
“Keutamaan selepas ini ialah penyatuan untuk kita bangkit semula membina kekuatan,” katanya dalam kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp. – UTUSAN ONLINE












