BUKIT MERTAJAM – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, sejarah penubuhan PKR dari segi sentimen dan konteks selain keperluan parti antara yang perlu diberi perhatian berhubung pemilihan parti itu pada bulan depan.
Katanya, beliau memberikan pandangan itu sebagai seorang yang telah bersama-sama parti itu sejak penubuhannya pada 4 April 1999.
“Pada saya, (apabila) kita melihat sejarah penubuhan mana-mana parti, ia pasti akan ada sentimennya, ada konteksnya dan akan ada kesinambungannya. Maka nama Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh dipisahkan daripada keadilan dari segi itu,” katanya di sini hari ini.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yang mahukan parti itu membuka semua jawatan untuk pertandingan, termasuk Presiden dalam pemilihan parti itu Ogos ini.
Ketika menyuarakan pandangan itu Nurul Izzah tampak memberikan gambaran jelas bahawa bapanya yang juga Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah insan yang paling layak untuk memegang jawatan Presiden sekaligus mengemudi parti itu. – Bernama










