Perkasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, bantu lonjak kukuhkan budaya tempatan - Utusan Malaysia

Perkasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, bantu lonjak kukuhkan budaya tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya komited akan terus memperkasa budaya tempatan bagi mengukuhkan industri pelancongan negara di mata dunia.

Menurut Timbalan Menterinya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, usaha tersebut bagi membantu melonjakkan aktiviti pelancongan dan budaya Malaysia menerusi program yang bakal dirangka.

Katanya, kementerian kini lebih fokus dengan teknik push and pull iaitu akan memberi penekanan lebih kepada produk pelancongan sedia ada yang mampu membantu negara menjana pendapatan dan memberi pengalaman hebat kepada pelancong.

“Selain itu, walaupun produk pelancongan Malaysia menjadi fokus utama buat masa ini, kami masih tetap akan membawa masuk dan menganjurkan acara-acara besar bertaraf antarabangsa seperti konsert dan kejohanan sukan.

“Jadi, saya berharap semua pihak berganding bahu untuk terus memperkasakan industri pelancongan negara kerana kekuatan produk sedia ada dan yang akan dibangunkan dapat memperkukuh lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan domestik dan antarabangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Muhammad Bakhtiar memberitahu, kementerian akan meneliti semula kualiti acara-acara antarabangsa yang akan diadakan bagi memastikan ia bersesuaian dan mampu menarik lebih ramai pelancong luar ke negara ini.

Tambahnya, trend dan pasaran pelancongan juga perlu dikaji untuk menentukan sama ada sesebuah acara itu sesuai untuk diadakan di negara ini.

Ujar beliau, pihaknya juga akan terus menjalin kerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan untuk menyemarakkan lagi industri pelancongan Malaysia di dalam dan luar negara.

Kosmo! Online pada 3 Julai lalu melaporkan Persatuan Penggiat Festival Antarabangsa (Alife) memohon supaya kementerian terus menyokong acara-acara besar yang diadakan dalam negara ini bagi meningkatkan bilangan dan perbelanjaan dalam kalangan pelancong luar negara. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN