YANGON 30 Jun – Pelarian Islam Rohingya yang kembali ke Myanmar tidak diberikan jaminan keakyatan atau kebebasan bergerak di negara ini di bawah perjanjian rahsia antara kerajaan Myanmar dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dilihat Reuters.
PBB telah mencapai perjanjian dengan Myanmar pada penghujung bulan Mei untuk membolehkan ratusan ribu pelarian Rohingya yang mencari perlindungan di Bangladesh kembali ke negara ini dengan selamat.
Bagaimanapun, perincian perjanjian berkenaan tidak didedahkan kepada umum.
Reuters semalam menyemak semula memorandum persefahaman (MoU) yang dipersetujui antara PBB dan pihak berkuasa Myanmar. Draf perjanjian juga dibocorkan dalam talian.
Kerakyatan dan hak-hak pelarian Rohingya yang kembali ke Myanmar merupakan perkara penting dalam rundingan berhubung perjanjian untuk memulihkan akses agensi-agensi PBB ke negeri Rakhine selepas dilarang berbuat demikian sejak Ogos lalu.
MoU menyatakan pelarian yang pulang akan menikmati kebebasan bergerak yang sama seperti warganegara Myanmar lain di Rakhine, sesuai dengan undang-undang dan peraturan yang ada.
Bagaimanapun berdasarkan teks yang dilihat oleh Reuters, Rohingya tidak dijamin kebebasan bergerak melebihi sempadan Rakhine atau tiada penyelesaian kepada undang-undang dan peraturan yang kini menghalang Rohingya bergerak secara bebas.
Pemimpin pelarian dan kumpulan hak asasi manusia berkata, perjanjian itu gagal memastikan hak asasi yang asas kepada kira-kira 700,000 etnik Rohingya melarikan diri daripada tindakan kekerasan tentera, perbuatan yang dianggap Barat sebagai pembersihan etnik.
“Hingga kini, mengembalikan Rohingya ke Rakhine bermakna mengembalikan mereka ke sebuah negeri apartheid, sebuah tempat mereka tidak boleh bebas bergerak dan berdepan masalah akses sekolah, hospital dan tempat bekerja yang boleh dipercayai.
“Tidak ada perkara dalam dokumen itu yang memberi jaminan akan berlaku perubahan,” kata Penyelidik Amnesty International Myanmar, Laura Haigh. – REUTERS/AFP











