LONDON 27 Julai – Manchester United dikatakan mahu menandatangani bintang Piala Dunia Croatia, Ivan Perisic sebelum boleh melepaskan Anthony Martial meninggalkan kelab itu.
Martial yang dibenarkan pulang oleh United daripada jelajah pra-musim di Amerika Syarikat ketika ini berikutan kelahiran anak keduanya di Paris telah pun mendapat lampu hijau untuk berhijrah tetapi bersyarat.
Syaratnya ialah United bersetuju menjual Martial sekurang-kurangnya pada harga £70 juta (RM375 juta) dengan pencabar mereka dalam Liga Perdana Inggeris seperti Chelsea dan Tottenham Hotspur sudah pun menyatakan minat.
Selain itu, kelab di luar England seperti Paris St. Germain (PSG) dan Bayern Munich dikatakan sedang memburu pemain berusia 22 tahun dari Belanda ini yang dikatakan lebih berminat untuk ke Perancis.
Dengan jendela perpindahan pemain ditutup 9 Ogos nanti, United jelas semakin terdesak mencari pengganti Martial. Musim lalu, United dilaporkan cuba mendapatkan Perisic dengan harga sekitar £40 juta (RM214 juta) tetapi pemain sayap Croatia itu ‘jual mahal’ dengan meletakkan harga tinggi, £60 juta (RM321 juta).
Buat masa ini Mourinho hanya mengesahkan pemain pertahanan, Matteo Darmian sedia dilepaskan. – AGENSI










