Percakapan Ramasamy telah dirakam - Thaiveegan - Utusan Malaysia

Percakapan Ramasamy telah dirakam – Thaiveegan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 19 Julai – Polis telah merakam percakapan Timbalan Ketua Menteri II yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Dr. P. Ramasamy, Selasa lalu selepas pemimpin itu didakwa terlibat dengan kumpulan pelampau Tamil, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Percakapan Ramasamy telah dirakam - Thaiveegan
A. Thaiveegan

Ketua Polis negeri, Datuk Seri A. Thaiveegan berkata, Ramasamy bagaimanapun memberikan kerjasama yang baik ketika keterangannya diambil.

“Sekarang sudah ada lebih daripada 10 laporan berhubung isu tersebut dan siasatan lanjut akan diteruskan oleh Bukit Aman sebab ia (laporan) turut melibatkan negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada pasukan trafik sukarela di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Perempuan China, Jalan Gottlieb, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam satu sidang akhbar mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima sebanyak 53 laporan polis berhubung dakwaan tersebut.

Menurut Mohamad Fuzi, polis juga bersedia untuk mengambil keterangan Ramasamy bergantung kepada keperluan semasa.

Dalam perkembangan lain, Thaiveegan memberitahu, pihaknya juga masih menyiasat nota ugutan bunuh yang diterima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid, baru-baru ini.

“Kita sedang kenal pasti siapakah tuan punya akaun Facebook (yang didakwa menularkan kenyataan berbaut fitnah terhadap Syerleena sebelum ini) dengan kerjasama SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” ujar beliau.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN