Perbicaraan kes Nur Dhabitah saman UMMB, bermula 26 November - Utusan Malaysia

Perbicaraan kes Nur Dhabitah saman UMMB, bermula 26 November

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Julai – Perbicaraan kes saman penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri terhadap Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB) yang didakwa menyiarkan artikel berunsur fitnah terhadapnya berhubung isu rogol dan doping akan didengar selama lima hari bermula 26 November ini oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Selain tarikh perbicaraan menurut peguam Azhar Arman Ali yang mewakili UMMB, Hakim Datuk Mohd. Zaki Abdul Wahab turut menetapkan 28 Ogos ini bagi pengurusan kes tersebut. Nur Dhabitah diwakili peguam K. Revathi.

Nur Dhabitah selaku pihak plaintif dalam pernyataan tuntutan terpinda bertarikh 1 Mac lalu mendakwa, artikel bertajuk Rogol, doping buat Nur Dhabitah tertekan yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia pada 5 Oktober 2017 membawa maksud, dia telah dirogol dan terlibat dalam doping atau pengambilan dadah.

Penyiaran artikel berkenaan dakwa pihak plaintif, telah menyebabkan maruah diri dan keluarganya terjejas, menanggung malu, mengalami kesusahan, tertekan semasa menghadiri latihan dan menjejaskan prestasi kerjayanya selain mencemarkan maruah nama baik negara.

Pihak plaintif juga mendakwa, secara alternatif UMMB yang dinamakan sebagai pihak defendan telah dengan niat jahat menerbitkan artikel yang mengandungi innuendo (kiasan) yang membawa maksud dirinya seorang penerjun yang tidak jujur, tidak bermoral, tidak profesional dan terlibat dalam penggunaan dadah.

Atlet berusia 19 tahun itu sehubungan itu memohon perintah injunksi, ganti rugi am, ganti rugi khas dan ganti rugi teladan daripada pihak defendan.

UMMB dalam pernyataan pembelaan bertarikh 9 April lalu menyatakan, artikel tersebut apabila dibaca secara keseluruhannya tidak memfitnah Nur Dhabitah dan kandungannya tidak menyebabkan dia dikenali sebagai seorang yang berperwatakan buruk dan terjebak dalam penyalahgunaan dadah.

Syarikat itu menganggap, artikel tersebut suatu komen yang berpatutan dan neutral berkaitan perkara kepentingan awam dan diterbitkan dalam situasi keistimewaan bersyarat dan mempunyai kebebasan bersuara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN