Perancis jangka jumpa Uruguay lebih sukar - Utusan Malaysia

Perancis jangka jumpa Uruguay lebih sukar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAZAN 1 Julai – Walaupun Perancis menjaringkan empat gol ketika menumpaskan Argentina untuk mara ke suku akhir, jurulatihnya Didier Deschamps menjangkakan perlawanan lebih sukar apabila bertemu Uruguay.

Memuatkan artikel berkaitan…

Juara 1998 itu berjaya ke suku akhir buat kali ketujuh, dan melepasi halangan Argentina dalam perlawanan sengit selepas menang 4-3 di Kazan Arena di mana mereka menguasai permainan dan mendedahkan kelemahan bahagian pertahanan lawan.

Selepas tiga perlawanan yang kurang memberangsangkan dalam peringkat kumpulan, Perancis akhirnya menggunakan potensi sebenar bahagian serangannya dan pemain berusia 19 tahun Kylian Mbappe menjadi pemain remaja pertama yang menjaringkan lebih satu gol dalam perlawanan Piala Dunia sejak Pele melakukannya dalam perlawanan akhir 1958.

Namun Uruguay, yang hanya dibolosi satu gol setakat ini dan menumpaskan juara Eropah, Portugal 2-1 untuk ke suku akhir, memiliki barisan pertahanan lebih kuat dengan diterajui pemain berpengalaman Diego Godin. Oleh itu Deschamps tahu peluang menjaringkan gol akan berkurangan apabila mereka bertemu di Nizhny Novgorod nanti.

“Uruguay adalah sebuah pasukan dari Amerika Selatan yang sangat sukar untuk dihadapi. Uruguay mungkin hampir seperti Peru, mereka mantap dan agresif. Ciri ini tidak ada pada Argentina. Perlawanan yang sukar menanti kami,” kata Deschamps kepada program televisyen Perancis, Telefoot hari ini.

Perancis menang 1-0 ke atas Peru dalam peringkat kumpulan, keputusan yang memastikan kemaraan mereka ke pusingan 16 pasukan terakhir. Sebelum pesta gol dalam perlawanan menentang Argentina, Les Bleus hanya menjaringkan tiga gol dan dikritik hebat oleh media Perancis kerana permainan mereka yang membosankan. – AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN