Perak sedia terima lulusan UEC - Utusan Malaysia

Perak sedia terima lulusan UEC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 22 Julai – Kerajaan negeri bersedia mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai kelayakan memasuki perkhidmatan awam di negeri ini dengan syarat pemohon mempunyai kelulusan kredit dalam bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, langkah itu selaras dengan janji yang terkan­dung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Seperti mana yang Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik beritahu, kita sedang bergerak ke arah itu (pengiktirafan UEC) dan kalau kerajaan Pusat bersetuju, maka kita juga akan turut mengambil langkah sama.

“Walau bagaimanapun dengan syarat (pemohon) fasih berbahasa Melayu atau lulus kredit bagi mata pelajaran itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Perak 2018 di Dewan Seri Perdana, Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sultan Azlan Shah, Tanjung Rambutan di Ulu Kinta di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Penerangan Perak, Dr. Abdul Aziz Bari; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Profesor Datuk Dr. Mohd. Ismail Abd. Aziz dan Pengarah Bahagian Peperiksaan dan Penilaian Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Rosli Idris.

Mengulas lanjut Ahmad Faizal berkata, semua pihak diminta berlapang dada dan melihat isu UEC itu sebagai antara langkah untuk memperbaiki hubungan antara kaum di negara ini.

Menurut beliau, tindakan beberapa pihak yang terlalu cemas untuk bercakap tentang perkara tersebut dibimbangi akan me­ngakibatkan kaum lain berkecil hati.

“Bagi mereka yang tidak mengerti dan mendatangkan kemarahan orang ramai ialah jika seseorang itu tidak langsung dapat berbahasa Melayu.

“Di dalam manifesto itu jika dibaca dengan teliti, ia ada menyebut yang kita berjanji untuk menerima UEC secara bersyarat supaya orang itu fasih berbahasa Melayu dan itu yang kita mahu.

“Kita juga tidak boleh menutup peluang mereka hanya kerana memiliki sijil UEC tetapi kita buka sedikit dan terima sijil itu dengan syarat fasih berbahasa Melayu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN