GUA MUSANG 9 Julai – Seorang peraih getah yang menarik perhatian umum kerana berkahwin dengan kanak-kanak berusia 11 tahun, bulan lalu didenda berjumlah RM1,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini atas dua kesalahan iaitu berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran.
Hakim Syarie, Mohd. Surbaineey Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap Che Abdul Karim Che Hamid, 41, selepas dia mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.
Mengikut pertuduhan pertama, Che Abdul Karim didakwa telah melangsungkan perkahwinan dengan seorang kanak-kanak perempuan warga Thailand berusia 11 tahun pada 18 Jun lalu di Masjid Mukim Muno, Sungai Golok, Narathiwat, Thailand tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada Pendaftar atau Hakim Syarie.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah melangsungkan perkahwinan poligami dengan kanak-kanak tersebut pada tarikh dan tempat sama tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada Pendaftar atau Hakim Syarie.
Pertuduhan pertama dikemukakan mengikut Seksyen 19 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Kelantan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 40(2) enakmen tersebut manakala pertuduhan kedua dibuat mengikut Seksyen 23(1) enakmen sama.
Bagi setiap pertuduhan, Che Abdul Karim didenda RM900 atau penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.
Terdahulu, Pendakwa Syarie, Nor Azizi Abdul Rahman yang mengendalikan pendakwaan memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal bagi kesalahan yang dilakukan selepas mengambil kira kehadiran dan pengakuan salah tertuduh.
Selain itu, beliau memohon agar hukuman yang dikenakan mengambil kira kepentingan awam, tertuduh dan terhadap isteri-isteri tertuduh berikutan kesan dan akibat daripada kesalahan yang dilakukan.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili syarie peguam hadir dengan ditemani sepupunya sahaja. Isteri-isteri tertuduh termasuk isteri ketiganya yang berusia 11 tahun itu tidak hadir.
Che Abdul Karim membayar denda tersebut.










