KUALA LUMPUR 9 Julai – Nasib 143 orang peniaga bazar Melayu moden di Jalan Masjid India di sini seperti tiada pembelaan kerana terpaksa berpayung di bawah bumbung yang rosak sejak lima tahun lalu.
Setiap kali hujan, perniagaan mereka akan terjejas teruk kerana kehilangan sebahagian besar pelanggan yang tidak mahu masuk ke ruang bazar berkenaan.
Itulah yang diluahkan oleh peniaga-peniaga di tapak bazar berkenaan.
Utusan Malaysia, difahamkan masalah yang dihadapi golongan peniaga di situ sudah beberapa kali diajukan kepada pihak berkuasa tetapi seperti tidak diendahkan.
Lebih memburukkan keadaan, masalah bumbung berlubang itu menyebabkan curahan air sehingga membanjiri tapak bazar.
Ditambah dengan masalah saluran air yang kurang sempurna, air hujan kerap bertakung dan menyebabkan tempias yang kuat di tapak perniagaan berkeluasan 800 meter persegi itu.
Menurut aduan peniaga, salah satu daripada beberapa bahagian bumbung yang rosak berlaku pada tahun lalu akibat kebakaran.
Berikutan masalah yang tidak diselenggara itu, peniaga menyuarakan kebimbangan pendapatan mereka dan keselamatan pengunjung terjejas.









