Peniaga didakwa simpan LPG tanpa lesen - Utusan Malaysia

Peniaga didakwa simpan LPG tanpa lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram


KUALA LUMPUR 20 Julai – Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyimpan 3,000 kilogram (kg) gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen, tiga tahun lalu.


Soong Kok Meng, 52, sebagai orang kena saman (OKS) didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah premis kediaman di Jalan Liku Mata Air, Taman Genting, Jalan Genting Klang, di sini pada pukul 2.30 petang, 18 Mei 2015.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa ada dalam kawalannya barang berjadual iaitu LPG sebanyak 3,000 kg dalam keadaan menimbulkan syak dan niat untuk melalukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan LPG tersebut secara borong atau runcit tanpa lesen yang dikeluarkan oleh pegawai.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Janawatul Fieza Hamisan.


Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob menetapkan 29 Ogos ini untuk sebutan kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN