PETALING JAYA 19 Julai – Seorang pengurus syarikat pembersihan tidak berlesen didenda RM55,600 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menggajikan lima pekerja warga Indonesia tanpa pas sah dan membenarkan seorang lagi tinggal tanpa pas sama,tahun lalu.
Hakim Azwarnida Affandi menjatuhkan hukuman itu terhadap Hii Chee Kee, 36, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah apabila kesemua pertuduhan pindaan ke atasnya dibacakan.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama hingga kelima, lelaki itu didakwa telah mengambil lima pekerja wanita warga Indonesia dalam lingkungan 22 hingga 26 tahun tanpa pas yang sah di Taman Putera Impian, Puchong di sini kira-kira pukul 2.35 pagi, 18 April lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya.
Chee Kee turut didenda RM5,100 atau penjara tiga bulan atas pertuduhan membenarkan seorang lagi wanita warga Indonesia yang tidak memiliki pas sah untuk masuk dan tinggal di premis miliknya di tempat sama di tempat sama antara September 2015 hingga April 2017.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 55E(2) kanun sama yang membawa hukuman denda maksimum RM30,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap imigran haram yang dijumpai di premis.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh membayar pampasan gaji berjumlah RM47,060 kepada kesemua enam mangsa dalam tempoh seminggu bermula hari ini. – UTUSAN ONLINE









