Pengikut syiah ada hak sebagai warganegara - Utusan Malaysia

Pengikut syiah ada hak sebagai warganegara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Julai – Pengikut Syiah di negara ini tetap mempunyai hak sebagai warganegara selagi mereka tidak melakukan sebarang jenayah dan tidak menggugat kedudukan negara dalam konteks negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa menegaskan, Islam merupakan agama rasmi dan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai aliran utama namun Perlembagaan juga menyebut soal kebebasan beragama.

“Setiap rakyat berhak memilih apa saja agama (atau aliran) yang dirasakan betul. Ia terkandung dalam Perlembagaan, setiap warga bebas untuk beragama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Agama rasmi ialah Islam dalam Perlembagaan dan ia bebas untuk dipraktikkan. Dalam konteks ini, saya tak boleh cabuli klausa mengenai bebas beragama (dalam Perlembagaan),” katanya.

Beliau menjawab soalan sama ada pengikut Syiah akan mendapat pembelaan selaras dengan undang-undang oleh kerajaan Pakatan Harapan dalam wawancara bersama Malaysiakini seperti yang disiarkan dalam portal berita tersebut di sini kelmarin.

Dalam pada itu, tambah Dr. Mujahid yang juga merupakan Naib Presiden, Parti Amanah Rakyat (Amanah), adalah penting sesi dialog diadakan bersama dengan golongan minoriti di negara ini dan persoalan sama ada Syiah bercanggah dengan Islam atau tidak merupakan debat intelektual.

“Sebagai rakyat Malaysia, mereka tetap mendapat peruntukan kebebasan kecuali jika mereka melakukan jenayah, mahu gugat kedudukan negara dalam konteks agama, itu akan diambil tindakan,” katanya.

Sementara itu, ujarnya, selain bertanggungjawab mentadbir hal ehwal umum agama, beliau turut menyatakan hasrat untuk menangani isu yang sering mendapat perhatian masyarakat termasuklah isu pertukaran agama, hak asasi manusia serta kepelbagaian agama di negara ini.

Jelas Dr. Mujahid lagi, isu-isu tersebut yang sering mencetuskan salah faham perlu mempunyai pandangan yang selaras.

“Saya juga akan tangani benda itu. Contohnya isu hak asasi manusia, isu kepelbagaian agama, kaum… ia boleh cetus salah faham. Kita bukan sekadar pentadbiran Islam tetapi kita perlu lihat apa pandangan Islam, apa pandangan kerajaan hari ini supaya ia diselaraskan dengan pendirian kita.

“Orang akan minta pandangan menteri agama dan kita akan garap mengikut keperluan yang ada,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×