SHAH ALAM – Penganjur Piala Sultan Selangor 2018 menyasarkan 30,000 peminat bola sepak tempatan bakal membanjiri Stadium Shah Alam bagi melihat pertembungan dua musuh tradisi bola sepak iaitu Selangor dan Singapura.
Pengerusi Piala Sultan Selangor 2018, Tan Sri Abd. Karim Munisar berkata, beliau yakin dengan pertambahan satu lagi piala yang dipertandingkan iaitu Piala Cabaran Sekolah-Sekolah yang mula diperkenalkan pada tahun lepas bakal menjadi tarikan utama.
“Bagi piala ini, kami mengenal pasti 20 pelajar dari seluruh Selangor untuk merampas kembali piala ini yang dimenangi oleh Singapura pada tahun lepas.
“Kami yakin pasukan kali ini akan berjaya merampas kembali ketiga-tiga piala yang ditawarkan, Piala Cabaran Sekolah-Sekolah, Piala Pilihan dan Veteran,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan tiket Piala Sultan Selangor kepada kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini hari ini.
Kira-kira 4,000 keping tiket diagihkan kepada pekerja MBSA pada majlis itu yang turut dihadiri Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad. – Bernama










