Peneroka Felda mengeluh bantuan tidak sampai - Utusan Malaysia

Peneroka Felda mengeluh bantuan tidak sampai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Julai – Peneroka Felda hanya mampu mengeluh kecewa apabila bantuan bulanan yang sepatutnya diterima mereka tidak sampai seperti kelazimannya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Bukit Tajau, Nor Azhar Abd. Latif berkata, rata-rata peneroka kini berhadapan masalah kewangan setelah Bantuan Sara Hidup atau Pendahuluan Hasil berjumlah RM1,000 sebulan tidak lagi dibayar kepada mereka sejak bulan lalu.

“Masalah yang kami hadapi ialah wang bantuan RM1,000 itu sepatutnya kami terima secara bulanan daripada Felda, tetapi sudah tidak dibayar sejak bulan Jun lalu. Kalau sebelum ini kami terima bantuan tersebut tepat pada 23 atau 25 hari bulan tanpa sebarang masalah.

“Ini kali pertama masalah ini terjadi. Bantuan itu sangat penting kepada kami untuk menampung perbelanjaan harian sebelum kami dapat hasil sawit,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Ditanya bagaimana nasib peneroka sekiranya bantuan tersebut terus bermasalah, Nor Azhar berkata, apa lagi yang boleh dilakukan oleh peneroka selain menunggu memandangkan mereka tidak berupaya mencari sumber pendapatan lain kerana rata-ratanya sudah berumur lebih 60 tahun.

“Kawan-kawan yang berumur bawah 50 atau 60 tahun terpaksa jadi pengawal keselamatan atau kerja tambahan lain, tetapi majoriti daripada kami berusia 60 tahun.

“Ada antara kami terpaksa meminjam wang daripada kawan-kawan dan kebanyakannya hanya mengharapkan bantuan daripada anak-anak,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Wilayah Jengka, Sulaiman Bakar berkata, kehidupan mereka kini boleh diibaratkan sebagai terumbang-ambing.

“Tidak ada orang jaga (pantau) kami sebagai peneroka. Tidak ada tempat untuk kami mengadu dan rujuk. Kalau dulu kita ada pengerusi dan pengerusi akan sampaikan kepada menteri berhubung masalah kami, tetapi sekarang semuanya tidak ada.

“Biasanya hujung tahun kami akan dapat insentif jualan hasil dan bantuan persekolahan, tetapi sekarang kami pun tidak tahu apa nasib dan masa depan kami,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN