KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi layanan hormat dan bermaruah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam kenyataan hari ini, Dr. Wan Azizah turut mendoakan keadilan buat bekas Perdana Menteri itu dan keluarganya.
“Kami menghormati undang-undang. Kami berharap SPRM melayan Najib dengan hormat dan bermaruah. Biar proses undang-undang yang wajar berjalan,” kata beliau yang kini sedang menghadiri Persidangan Peringkat Menteri Asia Bagi Pengurangan Risiko Bencana (AMCDRR) di Ulaanbaatar, Mongolia.
Najib hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan melakukan jenayah pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahguna jawatannya berhubung dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.
Semalam, Najib ditahan SPRM di rumahnya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur pada 2.35 petang berhubung siasatan dana SRC International Sdn. Bhd. – Bernama











