KUANTAN 26 Julai – Kerajaan negeri melakukan penambahbaikan berterusan bagi memastikan isu kelewatan proses kelulusan permohonan dan pemilik tanah yang sering menjadi rungutan orang ramai dapat diatasi.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, proses itu sering kali mengambil masa agak lama disebabkan keperluan mendapatkan laporan status tanah daripada beberapa jabatan antaranya Jabatan Perhutanan, Jabatan Alam Sekitar, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Kekangan dari segi sumber manusia juga menyumbang kepada kelewatan ini berbanding dengan pertambahan permohonan pemilikan tanah dari semasa ke semasa.
“Faktor kekurangan tanah kosong kerajaan juga memerlukan pertimbangan pemilikan lebih terperinci pihak berkuasa negeri bagi memastikan mereka benar-benar layak menerima kelulusan pemilikan tanah,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Nor Azmi Mat Ludin (BN-Kuala Semantan) yang ingin tahu tindakan kerajaan bagi menyelesaikan isu kelewatan proses kelulusan permohonan dan pemilik tanah di negeri ini.
Wan Rosdy berkata, antara penambahbaikan dibuat adalah dengan menambah pengisian bilangan Penolong Pegawai Tanah di Pejabat Daerah dan Tanah di negeri ini.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga memendek dan memudahkan prosedur bagi mempercepatkan proses Rancangan Tanah Berkelompok (RTK).
“Penurunan kuasa diberikan kepada Pengarah Pejabat Tanah dan Galian serta Pentadbir Tanah Daerah bagi keputusan permohonan Lesen Pendudukan Sementara (LPS).
“Kerajaan negeri turut memproses permohonan tanah dengan menggunakan sistem Pahang Lands Geospatial System (PLGS) bagi mempercepatkan Laporan Penolong Pegawai Tanah,” katanya.










