IPOH 30 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Perak bersama dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini mendesak Naib Pengerusi DAP, M. Kula Segaran meletak jawatannya sebagai Menteri Sumber Manusia berikutan kenyataannya orang Melayu sebagai pendatang.
Selain mendesak Kula Segaran meletakkan jawatan, mereka turut membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam dekat sini agar beliau disiasat secara teliti.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Perak, Mohd. Ariff Abdul Majid yang mengetuai kumpulan itu berkata, walaupun Kula Segaran telah membuat permohonan maaf hari ini, kenyataan itu tidak boleh dimaafkan.
Menurutnya, ini kerana kenyataan Kula Segaran itu boleh menimbulkan ketegangan antara kaum selain menimbulkan ketidakstabilan dan menggugat keselamatan negara.
“Walaupun Kula Segaran telah membuat permohonan maaf tetapi sebagai seorang menteri, beliau patut sedar setiap kenyataannya akan menjadi rujukan kepada rakyat.
“Jadi beliau harus bertanggungjawab atas kenyataan yang dilakukannya,” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat laporan polis di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










