Pemuda UMNO Perak buat laporan polis terhadap Kulasegaran - Utusan Malaysia

Pemuda UMNO Perak buat laporan polis terhadap Kulasegaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Pergerakan Pemuda UMNO Perak hari ini membuat satu laporan polis terhadap Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran selepas beliau mengeluarkan kenyataan bahawa orang Melayu adalah pendatang dan penduduk asal Tanah Melayu ialah penganut agama Hindu baru-baru ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Perak, Mohd. Arif Abdul Majid berkata, kenyataan tersebut menjurus kepada unsur-unsur menghasut dan menimbulkan ketegangan kaum sekali gus mengakibatkan ketidakstabilan dari aspek keselamatan.

Jelasnya, Pemuda UMNO Perak juga berharap siasatan dan tindakan segera perlu diambil dengan segera oleh pihak berwajib terhadap Ahli Parlimen Ipoh Barat itu.

“Kita juga mendesak Kulasegaran meletak jawatan sebagai Menteri Sumber Manusia kerana kenyataan beliau memberi sentimen tidak baik.

“Keadaan itu menyebabkan ketegangan dan keharmonian antara kaum di negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam di sini hari ini.

Dalam pada itu, Naib Pengerusi DAP itu telah memohon maaf susulan kontroversi berhubung dakwaan beliau menyifatkan orang Melayu sebagai pendatang hari ini.

Katanya dalam kenyataan, permohonan maaf itu dibuat untuk mengelakkan hal tersebut berlarutan dan menjadi semakin teruk.

Mengulas lanjut, menurut Mohd. Arif, meskipun sudah memohon maaf, sebagai seorang menteri, kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau akan menjadi rujukan kepada rakyat.

Ujarnya, Kulasegaran perlu bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dibuatnya sebelum ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN