Pemuda UMNO Kedah lapor polis, minta Kula Segaran disiasat - Utusan Malaysia

Pemuda UMNO Kedah lapor polis, minta Kula Segaran disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 30 Julai – Susulan daripada kenyataan Naib Pengerusi DAP, M. Kula Segaran yang menyifatkan orang Melayu sebagai pendatang, Pergerakan Pemuda UMNO Kedah hari ini tampil membuat laporan polis dan mendesak agar beliau disiasat atas dakwaan menghasut.

Ketuanya, Mohamad Fadzil Zolkipli berkata, walaupun membuat permohonan maaf hari ini, kenyataan Kula Segaran itu harus disiasat dengan terperinci bagi 
mengelak sentimen provokatif terhadap orang Melayu itu sewenang-wenangnya dibangkit oleh pihak tertentu.

“Kita tahu beliau (Kula Segaran) sudah membuat kenyataan minta maaf kepada semua, terutama orang Melayu tetapi dalam kenyataan maaf itu beliau masih mempertahankan bahawa ada pihak masih menabur fitnah di atas kenyataan tersebut.

“Di atas sebab itu pihak polis kena buat siasatan juga terhadap beliau. Kena betul-betul buat (siasat), sekadar minta maaf sahaja tidak cukup. Kita nak perkara ini tidak diulangi lagi kerana ia mengancam keselamatan negara,” katanya ketika ditemui di hadapan Ibu pejabat Polis Daerah Kota Setar di sini hari ini.

Kula Segaran dalam kenyataan sebelum ini menyebut Hindu merupakan agama awal yang dianuti penduduk Tanah Melayu dan Nusantara kemudiannya berkembang kepada ajaran Buddha sebelum Islam dibawa ke rantau ini dan menjadi popular pada abad ke-15 dan mengaitkan keadaan itu sebagai alasan orang India bukannya pendatang di sini.

Semalam beliau menafikan laporan itu dan mendakwa pandangan beliau diputarbelitkan oleh pihak-pihak tertentu yang mahu menimbulkan ketegangan kaum.

Video petikan Kula Segaran mendakwa orang Melayu sebagai pendatang dikongsi di media sosial.

Mengulas lanjut, Mohamad Fadzil berkata, kenyataan Kula Segaran itu secara sengaja membangkitkan sentimen kebencian terhadap sejarah negara dan cuba untuk menganggu gugat prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan.

“Kenyataan itu juga seolah-olah melahirkan kebencian perkauman dan menyemarakkan semula perasaan marah serta permusuhan antara kaum sekali gus dikhuatiri mengancam keselamatan dalam negara,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN