KUALA LUMPUR 3 Julai – Pemuda UMNO Malaysia mendesak kerajaan supaya menangguhkan pelepasan surcaj dan pemberhentian rebat pada kadar tarif elektrik bagi mengelakkan kenaikan kos berganda kepada rakyat, yang kesemuanya tampak berlaku dalam suatu tempoh yang singkat.
Naib Ketuanya, Shahril Hamdan berkata, pengumuman mengenai pelarasan Kos Pelepasan Tidak Seimbang (ICPT) baru-baru ini akan menyaksikan pengguna bukan domestik (bukan isi rumah, iaitu lazimnya komersial) akan dikenakan surcaj sebanyak RM1.35 sen bagi setiap kWj.
“Lebih daripada itu, semua penggunaan (tanpa mengira kediaman atau komersial) yang melebihi 300kWj sebulan tidak lagi akan menerima rebat yang diberi bawah Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
“Semua ini secara tidak langsung akan menyebabkan kenaikan kadar tarif efektif elektrik dan sekali gus ini akan menambahkan beban kewangan kepada rakyat selaku pengguna utama,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Shahril berkata, rebat ICPT telah dinikmati oleh semua segmen pengguna untuk tempoh lebih tiga tahun di bawah kerajaan BN sebelum ini semenjak pelarasan ICPT ini diperkenalkan pada tahun 2015.
“Namun, kerajaan Pakatan Harapan yang baharu berusia kurang dua bulan telah mengambil tindakan bukan sahaja menamatkan pemberian rebat malah telah mengenakan pula surcaj menerusi pelarasan ini.
“Ini memberikan kesan kepada 2.5 juta atau lebih kurang 36 peratus pengguna domestik (isi rumah/rakyat biasa) yang menggunakan elektrik melebihi 300kWj sebulan.
“Mereka tidak lagi akan menerima rebat dan kini terpaksa membayar tarif elektrik pada kadar asas sepenuhnya. Dalam bahasa mudah, bil elektrik naik,” katanya. – UTUSAN ONLINE










