KUALA LUMPUR 30 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO mendesak Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran supaya meletak jawatan berikutan kenyataannya berhubung isu pendatang yang tular dalam media sosial baru-baru ini.
Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya kesal dengan kenyataan sensitif itu kerana diyakini boleh mengganggu gugat keharmonian kaum di negara ini.
“Pemuda UMNO mendesak agar beliau meletak jawatan dan disiasat kerana kita tidak mahu keharmonian negara dihancurkan oleh beberapa individu yang mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan .
“Kita juga tidak mahu seorang pemimpin yang mencetuskan ketegangan kaum dengan menggunakan istilah sensitif,” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.
Terdahulu, kira-kira 50 ahli Pergerakan Pemuda UMNO hadir bagi menyatakan bantahan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Ipoh Barat itu sebelum ini. Laporan tersebut turut dibuat secara serentak di seluruh negara oleh ahli pergerakan Pemuda. Setelah mencetuskan kontroversi, Kula Segaran hari ini mengeluarkan kenyataan meminta maaf atas salah faham dan menarik balik semula rujukan dalam ucapan tersebut – UTUSAN ONLINE










