KLANG – Kehadiran pemimpin-pemimpin besar Pakatan Harapan (PH) termasuk Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dijangka membantu kempen calon mereka membuktikan kedudukan PH tergugat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, ini berikutan rekod Mahathir didapati amat jarang sekali turun padang dalam sesuatu kempen PRK sepanjang karier politiknya.
Katanya, keadaan itu berkemungkinan disebabkan faktor utama kerjasama antara UMNO dan Pas.
“Kita tahu, pengundi Melayu mewakili 70 peratus daripada keseluruhan pengundi (51,230 pengundi berdaftar) di DUN Sungai Kandis.
“Justeru, mereka merasa amat tergugat, gusar dan khuatir mengenainya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat bekas calon Pas bagi DUN Sungai Kandis pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sebelum ini, Mohd. Yusof Abdullah di Jalan Kebun di sini.
Mengikut jadual kempen calon PKR, pemimpin-pemimpin besar PH akan turun membantu kempen pada tiga hari terakhir bagi menghadapi PRK Dun Sungai Kandis.
Ini termasuk Mahathir yang merupakan pengerusi PH; Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Kewangan merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu.
Noraini yang merupakan Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor turut menjelaskan kegusaran PH itu juga didorong faktor kredibiliti calon BN, Datuk Lokman Noor Adam.
“Mereka (PH) risau sangat sebab calon BN (Lokman) di Sungai Kandis adalah hebat dan bekas Reformis yang mengetahui gerak kerja PH.
“Justeru itu, seluruh kepimpinan daripada Mahathir dan Anwar terpaksa turun membantu calon mereka,” jelasnya. – K!ONLINE











