KULAI 30 Jun – Seorang pemandu treler maut apabila kenderaannya hilang kawalan lalu merempuh sebuah lori membawa muatan batu-bata di Kilometer 38.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, di sini pagi tadi.
Kejadian pada pukul 6.40 pagi itu menyebabkan Azlan Shamsuddin, 46, maut dalam keadaan tersepit.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu treler gagal mengawal kenderaannya sehingga merempuh lori berkenaan.
“Kemalangan itu menyebabkan muatan batu-bata terjatuh lalu terkena seorang penunggang motosikal yang berada di lorong yang sama,” katanya ketika dihubungi di sini.
Azlan memberitahu, kemalangan tersebut menyebabkan pemandu treler meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori berusia 54 tahun tidak mengalami kecederaan dan penunggang motosikal berusia 29 tahun hanya cedera ringan.
Katanya, mayat pemandu treler tersebut dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.











