KUALA LUMPUR 27 Julai – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan cadangan untuk mengambil pemain naturalisasi bukan suatu pendekatan terbaik bagi meningkatkan prestasi bola sepak negara sebaliknya fokus perlu diberikan kepada pembangunan di peringkat akar umbi.
Katanya, pembangunan di peringkat awal adalah asas terpenting kepada sesebuah sukan dan melalui cara itu, lebih banyak pemain dapat dilahirkan pada masa akan datang.
“Berkenaan usul naturalisasi bola sepak, bagi pihak kami, perkara ini perlu diperhalusi sebaik-baiknya kerana tiada ada jalan mudah untuk berjaya.
“Pembangunan akar umbi teramat penting bagi memastikan ada lebih banyak pemain-pemain Malaysia yang dapat mengangkat dan memartabatkan bola sepak negara pada masa hadapan,” katanya selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan Gabenor Ehime, Tokihiro Nakamura di Bukit Kiara, di sini hari ini.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohamad Amin mengakui cadangan mengambil pemain dari luar negara yang diberikan kerakyatan merupakan antara salah satu mekanisme dalam usaha menambah baik prestasi skuad kebangsaan.
Idea tersebut bagaimanapun masih di peringkat awal dan banyak usaha perlu dilakukan jika ingin membawa masuk pemain berstatus naturalisasi ke dalam pasukan kebangsaan.
Mengulas mengenai Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Syed Saddiq berkata, masih belum ada sebarang keputusan sama ada program itu akan diserahkan kepada FAM atau sebaliknya.
“Saya sudah minta FAM untuk bentangkan pelan jangka panjang dan pendek kepada KBS (Kementerian Belia dan Sukan) bagi membolehkan kami melihat titik pertemuan terbaik untuk kedua-dua pihak.
“Ia sangat penting untuk menjalinkan kersama sama bagi memastikan NFDP ini terus berkembang tetapi masih belum ada sebarang keputusan muktamad mengenainya dan kami sedang menunggu untuk perbincangan susulan,” katanya.










