KUALA LUMPUR 22 Julai – Pelan Wilayah Kuala Lumpur 2020-2040 akan dirangka pada akhir tahun depan dalam usaha menjadikan ibu negara ke arah sebuah bandar raya bertaraf dunia.
Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata, pelan tersebut perlu bagi meneruskan perancangan pembangunan ibu kota, mengatasi kesesakan lalu lintas dan seterusnya meningkatkan kualiti kehidupan warga kota.
“Pelan ini sepatutnya digazetkan lebih awal iaitu pada 2015, namun ia telah ditangguhkan. Hanya pelan struktur (Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020) yang diwartakan sebelum ini.
“Apabila pelan tempatan (Pelan Wilayah Kuala Lumpur 2020) tidak diwartakan, maka ada banyak kelonggaran berlaku dan dalam pentadbiran baharu ini. Jadi, kementerian akan wartakan bagi menyelesaikan projek-projek yang didapati bercanggah dengan pelan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Menteri Wilayah di Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Adnan Md. Ikhsan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz.
Menurut Khalid, pihak kementerian bersama-sama 11 ahli Parlimen akan merangka pelan Wilayah Kuala Lumpur 2020-2040 sebelum penghujung 2019.
“Sebelum 2020 kita akan pamerkan pelan untuk persetujuan semua pihak sebelum ia digazetkan,” katanya.
Sementara itu, Khalid turut menyangkal khabar angin yang mendakwa bahawa kementerian tidak meluluskan bajet untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan di seluruh wilayah.










