KUALA LUMPUR 19 Julai – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menganggap pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan meningkatkan kuasa beli rakyat jika dibandingkan dengan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, SST hanya mengutip kurang separuh daripada jumlah kutipan GST iaitu RM21 bilion setahun berbanding GST yang mengutip RM44 bilion dan jelas membuktikan bahawa SST tidak membebankan rakyat.
Malah, katanya, jumlah kutipan yang dijangkakan itu menandakan bahawa pelaksanaan SST akan meningkatkan kuasa pembeli.
“Apabila SST dilaksanakan pada 1 September ini, kutipannya adalah RM21 bilion berbanding GST yang mengutip RM44 bilion, kalau RM21 bilion itu tidak dikutip sebagai pendapatan kerajaan, maka duit itu akan masuk ke kocek rakyat, itu sahaja logiknya.
“Duit itu tidak menjadi milik kerajaan tetapi milik rakyat, bila menjadi duit rakyat, rakyat boleh menggunapakai untuk berbelanja duit tersebut sekali gus meningkatkan kuasa pembeli,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program promosi Arabian Fest di Lulu Hypermarket, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










