HULU SELANGOR – Seorang wanita yang juga pekerja hotel di ibu kota maut ketika dalam perjalanan ke tempat kerja apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas di Kilometer 18, Jalan Sungai Tua-Ulu Yam di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintenden Azman Shari’at berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 pagi itu, mangsa, Rozaina Che Ismail, 37, ditemui oleh orang ramai dalam keadaan terbaring di bahu jalan berhampiran motosikalnya.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Ego berwarna hitam dari Hulu Selangor menghala ke Kuala Lumpur untuk ke tempat kerjanya.
“Ketika sampai di kawasan selekoh di jalan tersebut, motosikalnya terbabas dan mangsa tercampak lalu terkena besi penghadang di sebelah bahu jalan itu dan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepalanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azman menambah, siasatan di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang kesan brek atau serpihan kenderaan lain yang terlibat.
“Cuaca juga baik dan keadaan jalan yang kering dan lengang. Motosikal mangsa pula remuk di bahagian hadapan.
“Waris mangsa telah dimaklumkan dan bedah siasat dijalankan di Hospital Selayang hari ini. Hebahan akan dilakukan bagi mengesan saksi semasa kejadian,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











