SEREMBAN 6 Julai – Buat julung kali, Negeri Sembilan mempunyai seorang pegawai daerah dalam kalangan wanita dengan pelantikan Suhaiza Sharudin sebagai Pegawai Daerah Tampin berkuat kuasa Isnin lalu.
Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, anak jati negeri ini yang berusia 41 tahun itu sebelum ini adalah Timbalan Pegawai Kewangan negeri.
Katanya, kerajaan negeri percaya ibu kepada empat anak itu berupaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.
“Kerajaan negeri menghargai peranan dan sumbangan yang telah dimainkan oleh para pegawai tadbir dalam kalangan wanita.
“Adalah menjadi hasrat kami untuk melihat lebih ramai pegawai wanita diberi peranan utama dalam pentadbiran termasuk mengetuai jabatan dan agensi lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penganugerahan pangkat kehormat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) di sini hari ini.
Dalam majlis itu, Aminuddin mengetuai senarai empat orang penerima anugerah pangkat kehormat daripada JBPM.
Beliau menerima pangkat Timbalan Kanan Pesuruhjaya Bomba daripada Ketua Pengarah JPBM, Mohammad Hamdan Wahid.
Sementara itu, tiga orang menerima pangkat Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba iaitu Speaker Dewan Undangan Negeri, Zulkefly Mohamad Omar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr. Razali Ab. Malek dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong.
Mohamad Hamdan berkata, penganugerahan pangkat tersebut diberikan kepada pemimpin kerajaan negeri bagi menghargai peranan dan sumbangan mereka kepada JPBM khususnya yang berkait dengan aspek kebombaan dan keselamatan kebakaran.
“Kerajaan negeri juga banyak membantu dan memberi kerjasama kepada JPBM dalam perolehan tapak bagi pembinaan prasarana berkaitan seperti balai bomba.
“Para pemimpin ini juga adalah ikon masyarakat yang memainkan peranan meningkatkan kesedaran awam terhadap keselamatan orang ramai daripada bencana alam dan kebakaran,” ujarnya.











