KOTA BHARU 3 Julai – Pas tidak ralat atau berasa rugi melihat sembilan bekas pemimpinnya yang kini bersama Parti Amanah Negara (Amanah) dilantik menjadi menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet baharu.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, untung atau rugi sesuatu parti politik tidak boleh dinilai hanya berdasarkan jawatan atau aspek seumpama itu semata-mata.
“Dalam politik ini, tidak semestinya kalau bersama kerajaan maka dia akan untung.
“Apa yang penting, kita amalkan politik yang seimbang. Suara pembangkang dan suara kerajaan sangat penting dalam konteks amalan demokrasi. Kita perlu pastikan ada semak dan seimbang dalam sesebuah pentadbiran,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) di Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini hari ini.
Dalam Kabinet baharu kerajaan pusat, lima pemimpin Amanah dilantik sebagai menteri dan empat lagi dilantik sebagai timbalan menteri.
Mereka yang dilantik sebagai menteri ialah Mohamad Sabu (Pertahanan), Salahuddin Ayub (Pertanian dan Industri Asas Tani), Dr. Dzulkefly Ahmad (Kesihatan), Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa (Jabatan Perdana Menteri) dan Khalid Samad (Wilayah).
Mereka yang dilantik sebagai timbalan menteri ialah Mohd Anuar Tahir (Kerja Raya), Datuk Mahfuz Omar (Sumber Manusia), Dr. Hatta Md. Ramli (Pembangunan Usahawan) dan Mohamed Hanipa Maidin (Jabatan Perdana Menteri).
Dalam perkembangan sama, Tuan Ibrahim berkata, barisan Kabinet diketuai Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad boleh disifatkan seimbang namun terdapat sedikit kekurangan berkaitan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan hal ehwal agama.
“Secara keseluruhannya kita lihat agak seimbang, cuma kekurangannya dari segi bidang agama.
“Yang pegang menteri agama bukan (latar belakang) bidang agama. Tapi itu bukan masalah, masih terlalu awal untuk komen dan kita patut tengok dulu,” katanya. – UTUSAN ONLINE











