KOTA KINABALU 23 Julai – Kerajaan negeri menggesa semua pihak berkuasa tempatan (PBT) meletakkan papan-papan tanda pelbagai bahasa di kawasan tumpuan pelancong terutama rumah ibadat sebagai panduan untuk pengunjung menjaga adab.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Jaujan Sambakong berkata, bahasa Mandarin adalah antara yang perlu untuk membantu pelancong China yang banyak ke negeri ini memahami peraturan-peraturan di kawasan tertentu.
Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, langkah tersebut dapat menjelaskan kepada para pelancong tentang larangan tertentu yang perlu dipatuhi terutama di rumah-rumah ibadat bagi menjaga sensitiviti masyarakat negara ini.
“Saya berpendapat sekarang sudah tiba masanya untuk kita lakukan perkara ini kerana tidak semua pelancong terutama dari China mampu berbahasa Inggeris apatah lagi bahasa Melayu.
“Tujuan kita adalah memastikan peraturan dan undang-undang di kawasan tertentu seperti rumah ibadat dipatuhi kerana rakyat Malaysia sangat sensitif tentang perkara ini,” kataya dalam sidang akhbar selepas mendengar taklimat pembangunan di Majlis Daerah Putatan di sini hari ini.
Yang turut hadir, timbalannya, Hiew Vun Sin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas merangkap Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwa Anak Negeri, Uda Sulai.
Bulan lalu, dua pelancong wanita dari China didakwa di Mahkamah Majistret di sini berikutan tindakan mereka menari sambil berpakaian seksi di atas pagar Masjid Bandaraya.
Tindakan tersebut yang tular di media sosial menyebabkan rakyat negeri ini terutama yang beragama Islam mendesak kerajaan mengambil tindakan segera mengelakkan perkara tersebut daripada berulang.
Sebelum ini, pada 2015, rakyat negara ini turut dikejutkan dengan tindakan pelancong dari Eropah yang berbogel di puncak Gunung Kinabalu sehingga kaum pribumi Sabah mengaitkannya dengan gempa bumi yang berlaku ketika itu.
Jaujan berkata, langkah berkenaan tidak akan mengabaikan peranan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, sebaliknya itu adalah keperluan demi memastikan kawasan pusat pelancongan dan rumah ibadat terjaga.










