Panggil sahaja saya bro – Syed Saddiq - Utusan Malaysia

Panggil sahaja saya bro – Syed Saddiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH: MENCATAT sejarah sebagai menteri termuda dalam pentadbiran negara, ternyata SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN mempunyai aura tersendiri kerana kemunculannya sentiasa dinanti-nantikan. Ahli Parlimen Muar berusia 25 tahun itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Belia dan Sukan ke-18 kelmarin dan memulakan tugasnya, semalam. Syed Saddiq yang meminta warga kementerian memanggilnya ‘bro’ turut menyeru mereka bekerja sebagai satu keluarga.

Wartawan Utusan Malaysia, HAKIMI ISMAIL dan jurufoto, RASHID MAHFOF menemu bual Menteri Belia dan Sukan yang baharu itu mengenai visi dan misinya selepas menggantikan menteri dari kerajaan terdahulu, Khairy Jamaluddin.

 

Utusan: Apa pembaharuan yang bakal dilakukan dan adakah program-program terdahulu akan diteruskan?

SYED SADDIQ: Program Hari Sukan Negara, Fit Malaysia dan Program Felo Perdana kita akan teruskan tetapi perlu ada perincian penuh, sebab itu saya perlu menunggu laporan me­ngenainya untuk penambahbaikan. Fokus saya amat luas dan bukannya memberi tumpuan untuk mencari kesilapan ke­pimpinan lama, kesilapan harus diperbaiki.

Mengenai budaya integriti yang ingin diterapkan di kementerian, boleh YB huraikan?

Ini sangat mustahak, jika ada mana-mana pegawai didesak oleh pihak tertentu kononnya mereka kawan baik saya atau dari parti PPBM, itu merupakan satu kesalahan kerana kita perlu mengikut prosedur sedia ada dan dalam masa yang sama kita perlu menghormati penjawat awam yang menggerakkan kementerian. Saya tidak mahu amalkan budaya menjawat jawatan ini sebagai kapasiti politik atau kepada kumpulan-kumpulan elit sebaliknya saya berkhidmat dan bekerja kepada rakyat.

Adakah sukan tertentu menjadi sukan tumpuan selepas ini?

Tidak, kerana jika dilakukan ia akan menjadi satu kesilapan, kita perlu menjaga semua persatuan sukan dengan baik, sukan-sukan yang dipinggirkan sebelum ini juga akan diberikan tumpuan dalam memastikan sukan berkenaan kembali mendapat tempat. Sebagai contoh e-Sukan, pada zaman teknologi maklumat dan komunikasi ini kita perlu agresif bangunkannya.

Untuk mendekati golo­ngan belia bukan masalah bagi YB, bagaimana pula dengan penggiat-penggiat sukan?

Saya datang ke kementerian ini dengan rendah diri, untuk kendalikan sukan Malaysia saya perlu berbincang dan berdialog dengan pakar-pakar sukan. Perbincangan dan dialog ini membolehkan kita membuat keputusan bersama, saya tidak mahu masuk dan kata saya nak buat ‘ABCDEFG’ dan akhirnya semua salah dan merosakkan sukan negara. Apa yang baik kita akan teruskan seperti program podium, selain itu kita juga mahu cari atlet-atlet negara yang sudah bersara untuk memastikan kebajikan mereka terjaga.

Kita akan perhalusi semua aspek dalam usaha memajukan sukan negara, dasar-dasar sukan ini dirangka bersama teknokrat-teknokrat sukan dan bukannya ahli-ahli politik yang mempunyai kepentingan peribadi.

YB mungkin mempunyai sasaran yang diinginkan dalam 100 hari pentadbiran di kementerian ini?

Saya tidak mahu letakkan sasaran ‘syok sendiri’ tanpa berbincang dengan para pegawai di sini. Saya masih baharu sedangkan mereka sudah be­kerja berpuluh-puluh tahun dan tentunya mempunyai pengalaman yang luas, jadi saya yang kena melangkah jauh ke hadapan.

Atlet-atlet negara sedang bersiap untuk Sukan Asia, macam mana YB melihat perkara ini?

Semalam saya sudah berjumpa dengan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Lokman Hakim Ali mengenai perkara ini, pertamanya saya mahu laporan penuh dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) negara dalam kejohanan tersebut. Kita sasar kedudukan 10 terbaik dan merangkul pingat.Saya akan berdialog dengan atlet-atlet negara untuk bincangkan bagaimana hendak capai KPI dan dalam masa sama menggerakkan pelan kestabilan untuk masa depan, saya yakin kita mampu capai KPI yang te­lah ditetapkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN