Pahang lubuk Macau Scam - Utusan Malaysia

Pahang lubuk Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 18 Julai – Mungkin tidak peka de­ngan hebahan yang dilakukan pihak polis di media antara punca sindiket Macau Scam masih dapat memperdaya mangsa di negeri ini.

Buktinya sejak 1 Januari hingga Ahad lalu, sebanyak 81 kes penipuan sindiket Macau Scam yang mencatatkan kerugian RM3,021,185.88 telah direkodkan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, daripada jumlah itu, daerah ini mencatatkan jumlah kes terbanyak iaitu 24 kes membabitkan kerugian RM1,187,420.38.

Katanya, daerah kedua terbanyak ialah Raub yang mencatat 11 kes dengan kerugian RM209,340 diikuti Bentong (sembilan kes, kerugian RM128,086) dan Temerloh (lapan kes, kerugian RM184,781.01.

“Pelbagai helah digunakan sindiket Macau Scam untuk memperdaya orang ramai dan terbaharu melalui taktik kononnya mangsa mempunyai tunggakan caruman Pertubuhan Ke­selamatan Sosial (Perkeso).

“Akibat terperdaya dengan helah berkenaan, seorang pesara kerajaan dari Temerloh dekat sini terpaksa menanggung kerugian berjumlah RM85,246.01,” kata­nya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu dalam, kes berasingan, Mohd. Wazir membe­ritahu, seorang jururawat berusia 27 tahun kerugian RM15,950 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai bank dan polis di sini semalam.

Ujarnya, wanita itu menerima panggilan telefon daripada RHB Langkawi yang mendakwa mang­sa ada membuat pinjaman wang berjumlah RM50,000.

“Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Tambah Mohd. Wazir, berdasarkan statistik tahun lalu, sebanyak 111 kes Macau Scam dicatatkan berbanding 21 kes pada 2016 atau peningkatan sebanyak 90 kes.

Daripada jumlah itu jelasnya, sebanyak RM360,313.30 kerugian direkodkan pada 2016 dan jumlah itu meningkat seba­nyak 656.3 peratus atau kepada RM2,364,771.55 tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN