KOTA KINABALU – Sebuah syarikat pengedaran produk suplemen kecantikan didakwa kerana memiliki produk tanpa notifikasi dan tidak berdaftar di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Syarikat Jessletonborneo Beauty House Sdn. Bhd. berdepan dua pertuduhan yang diwakili Pengurus Sumber, Rohaya Sapiin, 55, mengaku bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan pertama, syarikat berkenaan memiliki lima jenis keluaran yang bukan berdaftar di Jesseltonborneo Lot 4, One Stop Discount Store Wisma Ong Eee, Kota Marudu pada 17 Januari lalu.
Kesemua keluaran tersebut melibatkan produk Queen Mutiara sebanyak empat botol; Herbal Detox D’Herbs Sdn. Bhd. (empat kotak); Belalai Gajah Plus Durian Belanda (empat kotak); Rerama Plus Belalai Gajah (empat kotak) dan Gel Armani (dua kotak).
Bagi kesalahan tersebut tertuduh didakwa mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Pertuduhan kedua pula, tertuduh pada lokasi dan tarikh yang sama memiliki 25 bekas Dnarz Sunny Cream tanpa notifikasi didakwa mengikut Peraturan 18A (1) (a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (2) Akta Jualan Dadah 1952 dengan hukuman denda melebihi RM50,000 bagi kesalahan pertama dan lebih RM100,000 bagi kesalahan kedua.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Liew Zhan Yit manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam pembelaannya, Rohaya yang mewakili syarikat mendakwa pihaknya tidak menerima maklumat bahawa kesemua produk yang dirampas terbabit adalah tidak mendapat kebenaran daripada KKM.
Katanya, syarikat tersebut memasarkan produk itu dengan beranggapan ia selamat untuk digunakan selepas kebanyakan produk berkenaan dipromosikan dalam iklan komersial dan keluaran syarikat yang diiktiraf.
Mahkamah kemudiannya menetapkan denda sebanyak RM2,000 bagi kedua-dua pertuduhan. – K! ONLINE











