PULAU PINANG 30 Julai – Banjir kilat terus menjadi mimpi ngeri kepada sebahagian besar penduduk negeri ini khususnya di bahagian pulau apabila bencana itu sekali lagi berlaku awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi tadi, sekurang-kurangnya 15 kawasan di daerah Timur Laut iaitu sekitar Georgetown ditenggelami air sehingga paras paha akibat hujan lebat bermula kira-kira pukul 1 pagi.
Ekoran kejadian itu juga, seramai lapan orang terdiri daripada tiga buah keluarga terpaksa dipindahkan ke Masjid Hashim Yahya, Jalan Perak di sini, selepas rumah mereka dinaiki air.
Mereka yang terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki itu diselamatkan dari rumah masing-masing di sekitar Jalan P. Ramlee di sini selepas air mula memenuhi kediaman masing-masing.
Selain itu, puluhan kenderaan juga dilaporkan tenggelam akibat paras air yang tinggi khususnya di kawasan yang terjejas teruk di Jalan P. Ramlee dan Jalan Perak di sini.
Sementara itu, jurucakap pasukan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya mula menerima panggilan kecemasan daripada penduduk yang terperangkap di dalam banjir kira-kira pukul 3.30 pagi.
Ujarnya, usaha menyelamat segera dikerahkan khususnya bagi memindahkan mangsa yang terperangkap namun situasi banjir kembali pulih dan surut menjelang pukul 7 pagi ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri, Zairil Khir Johari berkata, banjir kilat awal pagi ini disebabkan hujan lebat yang berlarutan selama empat jam bermula kira-kira pukul 2 pagi ini.
Tambahnya, keadaan itu diburukkan lagi dengan situasi air laut pasang tinggi yang mengakibatkan air sungai melimpah dan memasuki kawasan penduduk.
Ujar beliau, kesemua kawasan yang dilanda banjir itu terletak di dalam lembangan (catchment) sungai Pinang, justeru bencana tersebut tidak akan berakhir sehingga projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang dapat dilaksanakan.
“Kini kita dalam proses melantik perunding untuk membuat reka bentuk terperinci projek RTB itu sebelum tender dibuka untuk melantik kontraktor.
“Skop projek akan ditentukan selepas reka bentuk dibuat dan kita memohon untuk rakyat bersabar kerana projek infrastruktur yang besar ini memerlukan masa untuk dilaksanakan,” katanya.











