Omar Jaafar dipilih Speaker DUN Melaka - Utusan Malaysia

Omar Jaafar dipilih Speaker DUN Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Bekas Pengerusi PKR Melaka, Omar Jaafar hari ini dipilih sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-13 selepas mendapat undian terbanyak daripada anggota dewan.

Omar, 77, yang juga bekas guru menggantikan Datuk Othman Muhamad, 66, yang bersara setelah berkhidmat sebagai Speaker DUN Melaka Ke-12 selama dua penggal sebelum ini.

Usul yang dicadangkan Ketua Menteri, Adly Zahari (Amanah-Bukit Katil) disokong Tey Kok Kiew (DAP-Bandar Hilir), sebelum mendapat 15 undian menyokong daripada Anggota DUN Melaka berbanding satu undian tidak menyokong, manakala 11 lagi berkecuali.

Terdahulu ketika usul itu dicadangkan, Zaidi Atan (BN-Serkam) bangun memohon pencerahan berhubung laporan polis berkaitan pemilikan senjata api di tempat awam melibatkan Omar di Jasin dekat sini pada 2001.

Adly kemudian bangun mencelah menyatakan pemilihan Omar sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka dilakukan selepas penilaian secara komprehensif termasuk latar belakang beliau.

Sementara itu, Dr. Wong Fort Pin (DAP-Bemban) dipilih sebagai Timbalan Speaker DUN Melaka, selepas usul dicadangkan Mohd Rafiq Naizamohideen (PPBM-Paya Rumput) dan disokong Ginie Lim Siew Lin (PKR-Machap Jaya), mendapat undian terbanyak anggota DUN Melaka.

Pada persidangan itu juga seramai 27 Anggota DUN Melaka mengangkat sumpah di hadapan Omar, manakala bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) tidak hadir dengan izin.

Ketika berucap selepas dipilih, Omar berkata, beliau akan menjalankan tugas dengan adil dan saksama bagi memberikan ruang terbaik untuk wakil rakyat kerajaan serta pembangkang berhujah demi kepentingan rakyat.

“Semua Yang Berhormat patuhi undang-undang yang ditetapkan dalam perlembagaan negeri semasa ambil bahagian dalam persidangan. Saya harap dalam persidangan akan datang semua ahli berhormat jalankan tugas sebaik mungkin agar suasana dewan ini tertib dan harmoni,” katanya. – Bernama

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN