KUALA LUMPUR 27 Julai – Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik perlu memberikan ruang kepada Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) dalam usaha menangani secara bersama berhubung gejala dan masalah stres yang berlaku dalam kalangan guru di negara ini.
Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock berkata, ini kerana NUTP juga bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah yang wujud berikutan majoriti guru di negara ini merupakan ahli persatuan tersebut.
“NUTP merayu Maszlee dapat memberi ruang untuk bersama bagi mengatasi masalah ini. Ini kerana untuk menjamin kecemerlangan dan memastikan kepuasan kerja.
“Ahli-ahli NUTP pada hari ini adalah sebanyak 220,000 orang daripada keseluruhan 435,000 jumlah guru yang ada di seluruh negara. Dengan anggaran kira-kira 300,000 guru adalah dari Semenanjung dan selebihnya dari Sabah dan Sarawak, kami bertanggungjawab untuk ‘menjaga’ ahli-ahli daripada menjadi mangsa stres,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai golongan guru paling ramai dikesan mengalami gejala stres di negara ini yang punca utamanya akibat beban kerja yang terlampau banyak.
Huat Hock berkata, pihaknya menyedari hakikat yang berlaku dan berharap langkah holistik dapat diambil pihak terbabit.
Sementara itu, Rektor Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Datuk Dr. Abdul Halim Tamuri berkata, masyarakat perlu memahami dan menghargai tugas guru-guru di sekolah yang terpaksa mengambil alih peranan ibu bapa.
“Sudahlah masa banyak dihabiskan di sekolah, guru-guru pula tidak setakat mengajar akademik tetapi mendidik dan mengasuh para pelajar.
“Jadi hargailah mereka dengan bertindak matang, rasional dan membina hubungan baik dengan guru. Bukan bertindak melaporkan kepada pihak polis dan media jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini,” katanya.
Beliau juga menyarankan pihak pentadbiran terutama pengetua sekolah supaya mempunyai kaedah dan kemahiran untuk menangani masalah guru.
“Paling penting, pengetua dan pihak sekolah juga harus menghargai para guru dengan menyatakan penghargaan dan ucapan terima kasih tanpa mengira masa dan keadaan.
“Jangan tunggu Hari Guru atau lain-lain majlis tetapi lakukan setiap hari, cara ini paling mudah mengurangkan stres guru,” katanya.
Seorang bekas guru, Mohd. Ghazali Hamzah pula berkata, selama hampir 40 tahun berkhidmat sebagai guru, dia sentiasa bersungguh-sungguh untuk membangun dan memajukan diri dalam bidang yang diceburi.
“Cabaran dalam bidang pendidikan dan perguruan ini tidak perlu dirungutkan berbanding cabaran dilalui para nabi, rasul, pemimpin terdahulu dan guru-guru kita dahulu yang tidak mempunyai sebarang kemudahan kecuali semangat dan cintakan dunia pendidikan yang tinggi.
“Ada antara guru hari ini yang hendak kerja senang bertambah senang dan menganggap tugas-tugas mendidik membebankan,” katanya.









