Meskipun sebelum ini tidak pernah membuat kek, Nurliza Mohd. Jonis, 38, telah menempa populariti selaku pelopor kepada penghasilan pop kek berbentuk karakter menerusi perniagaan, Crazepop, yang diusahakan sejak 2010.
Ternyata apa yang dikecapi hari ini bukan mudah kerana dia bermula tanpa sebarang pengalaman dan ilmu.
Keazamannya untuk keluar daripada desakan hidup, membuatkan wanita ini menggunakan apa sahaja peluang yang ada di depan mata untuk menjana pendapatan.
“Saya bekerja makan gaji selama 11 tahun sebagai pereka grafik di sebuah syarikat perkhidmatan internet. Saya mengakhiri karier tersebut pada tahun 2014, iaitu setahun sebelum syarikat tersebut ditutup.
“Mujur saya sudah bersedia dari awal. Saya nekad berhenti kerja sebab tak yakin lagi dengan keadaan syarikat dan pada masa sama, mempersiap diri dengan kerjaya baharu.
“Kebetulan, sejak 2010 saya sudah mula membuat pop kek, yang ketika itu orang masih tidak mengenalinya berbanding kek-kek moden lain.
“Saya ambil peluang tersebut untuk menjadi pelopor kepada pembuatan pop kek di Malaysia, walaupun saya tahu sukar kerana perlu mempelajari sendiri.
“Ketika itu, belum ada satu pun kursus atau kelas membuat pop kek dianjurkan melainkan di luar negara,” katanya ketika ditemui Mega Rona baru-baru ini.
Menurut Nurliza, dia bukanlah peminat kek apatah lagi mengenali kek-kek trend terkini, namun semuanya berlaku secara tidak sengaja apabila perlu membawa pemanis mulut untuk jamuan potluck di tempat kerja.
Disebabkan tidak memiliki ketuhar dan mesin pengadun kek, dia mencari di internet resipi kek yang mudah dan tidak perlu dibakar.
Dia menemui resipi Oreo Truffles, iaitu manisan yang hanya menggunakan biskut Oreo yang dikepal padat menjadi bulat dan disaluti coklat.
Apabila dibawa ke jamuan, rakannya menegur manisan tersebut seakan-akan pop kek, yang sememangnya sudah lama popular di Barat cuma di Malaysia sahaja kurang dikenali.
“Bentuk pop kek sama seperti Oreo Truffles tetapi ia diperbuat daripada kek yang telah dikepal. Pada awalnya saya tidak berminat ditambah pula tidak mempunyai ketuhar, ada pula kenalan menempah Oreo Truffles.
“Lama-kelamaan tempahan meningkat dan saya mula terbeban dengan kos biskut. Saya terfikir untuk beralih kepada pop kek,” kata ibu kepada tiga orang cahaya mata itu.
Wanita ini mula mencari resipi pop kek di internet dan belajar melalui YouTube.
Dia juga akhirnya membuat keputusan membeli ketuhar dan membuat sendiri kek yang memenuhi ‘kriteria’ pop kek.
Antaranya, rasa kek tidak terlalu manis untuk diseimbangkan dengan rasa manis coklat yang akan menyaluti kek, selain tekstur padat dan kering bagi memudahkan kek dikepal untuk dibentuk.
Nurliza juga membuat kajian sendiri tentang coklat yang menyaluti kek dan pewarna bagi menghasilkan rekaan kek yang cantik.
“Dalam masa yang sama saya mula menjual pop kek secara online. Ada rakan yang menyarankan saya mengikuti sebuah kumpulan di Facebook, iaitu Jobs for Caring Moms Malaysia untuk mempromosikan kek saya di situ.
“Mengejutkan ahli-ahli di situ menunjukkan sokongan kepada ibu-ibu yang berniaga seperti saya. Mereka membeli dan mempromosi kepada rakan-rakan lain. Dari situ, Crazepop mula dikenali.
“Mereka juga mencadangkan harga kerana kata mereka, saya bukan sekadar menjual kek tetapi menjual ‘seni’, jadi tak boleh terlalu murah,” ujarnya.
Begitupun, Nurliza mengakui, agak sukar memasarkan pemanis mulut yang tidak dikenali dengan harga tinggi, namun perkara itu tidak mematahkan semangatnya.
Bahkan, dia berusaha menyasarkan kepada pelanggan tertentu, selain bekerjasama dengan beberapa perancang majlis yang mengambil tempahan dengannya.
“Apabila pop kek mula dikenali sebagai kek premium, pelanggan tidak lagi mempersoal harga kerana tahu kesukaran untuk membuatnya.
“Saya sendiri sedaya upaya akan memenuhi permintaan pelanggan kerana tidak ramai yang sanggup membuat karakter pada pop kek.
“Sejak itu, saya semakin bersemangat untuk memperbaiki kemahiran dan berusaha menghasilkan pop kek terbaik. Saya juga membuka kelas untuk berkongsi ilmu,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan pelajar adalah dalam kalangan pembuat kek yang mahu menambah cabang kemahiran, selain suri rumah dan wanita muda yang mencari peluang menjana pendapatan sampingan.
Sehingga hari ini, Nurliza sudah mempunyai hampir 1,000 pelajar yang telah berguru dengannya.
“Saya menawarkan pop kek pada harga RM4.50 dan ia boleh mencecah sehingga RM25 untuk sebatang pop kek bergantung kepada perincian, karakter dan tema yang diminta pelanggan.
“Antara karakter popular yang pernah ditempah adalah unicorn, beruang teddy, watak kartun Disney, Baby Shark, Didi and Friends, My Little Pony, adiwira dan sebagainya,” ujarnya yang menggunakan medium Instagram, @crazepop.










