Minggu ini genap 100 tahun kelahiran pejuang antiaparteid Afrika Selatan, Nelson Mandela. Dilahirkan pada 18 Julai 1918 di wilayah Cape, Mandela ialah presiden kulit hitam pertama negara itu, berkuasa dari tahun 1994 hingga 1999.
Ketika beliau meninggal dunia di Johannesburg pada Disember 2013 pada usia 95 tahun, namanya lebih terkenal daripada mana-mana bintang filem, raja-raja dan pemimpin dunia yang lain.
Disebabkan perjuangannya menentang sistem aperteid pemerintah kulit putih Afrika Selatan, Mandela telah dipenjarakan selama lebih 27 tahun, kebanyakannya di Pulau Robben, penjara terkejam dengan sekuriti maksimum. Beliau dibebaskan pada 11 Februari 1990.
Dugaan hidupnya sungguh luar biasa. Selain dipenjara, ada wanita yang pernah singgah di hatinya tetapi kemudian menghancurkan jiwanya. Dia ialah Winnie Mandela, isteri daripada perkahwinan keduanya pada 1958.
Setelah Mandela dibebaskan pada tahun 1990 dan terpilih sebagai Presiden Afrika Selatan pada 1994, perpisahan selama bertahun-tahun di penjara seharusnya dapat mengubat kerinduan Mandela terhadap Winnie. Namun, sebaliknya berlaku. Pasangan ini bercerai pada 1996 setelah berkahwin selama 38 tahun.
Ketika prosiding perceraiannya di mahkamah, Mandela menggambarkan dirinya sebagai “lelaki paling kesepian” setelah kembali ke rumah dan mengetahui isterinya menjalin hubungan sulit dengan seorang lelaki muda.
Disebabkan terlalu lama di dalam penjara, ramai rakyat Afrika Selatan tidak mengenali Mandela, tidak tahu bentuk tubuh dan wajahnya tetapi cerita perjuangan, ketabahan, ketahanan dan kesengsaraan jiwa dan raga serta visi politiknya terus menjadi legenda. Rakyat mendewakan namanya tanpa melihat wajahnya.
Legasinya sebagai seorang pejuang, suami, bapa dan datuk akan hidup selama-lamanya.Kisah hidupnya, karyanya dan kata-katanya memberi inspirasi kepada generasi muda di Timur dan di Barat.
“Nelson Mandela mengajar kita begitu banyak perkara. Mungkin pelajaran terbesar adalah bagi golongan muda. Dia mengajar bahawa kita semua masih memiliki kebebasan dan tanggungjawab untuk memutuskan bagaimana kita memberi respons terhadap ketidakadilan, kekejaman dan kekerasan, dan bagaimana cara mereka mempengaruhi jiwa, hati dan fikiran anda,” kata bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton.
Antara prinsip hidup Mandela yang mengandungi banyak pengajaran ialah pertama, memberi maaf dan jangan membenci. Mandela mengatakan cinta adalah sifat semula jadi manusia dan jauh lebih penting daripada kebencian. Katanya, kebencian itu seperti meminum racun dan berharap ia akan membunuh musuh.
“Ketika saya berjalan keluar dari pintu yang akan membawa kebebasan, saya tahu jika saya tidak meninggalkan kepahitan dan kebencian di belakang saya, saya masih akan terpenjara,” ujarnya.
Kedua, hadapi semua tentangan. Kata Mandela: “Kesukaran dan tentangan mungkin akan menghancurkan ramai orang, tetapi ia juga membuatkan anda lebih kuat.”
Ketiga, tiada yang mustahil. Kebanyakan orang selalu meramal hasil sesuatu kerja sedangkan mereka belum melakukannya. “Semuanya kelihatan mustahil sehinggalah ia selesai dilakukan.”
Keempat, milikilah ramai kawan. Kata beliau: “Saya ingin mempunyai ramai kawan yang berfikiran terbuka kerana mereka akan membantu saya melihat masalah dari pelbagai sudut baharu.”
Kelima, jadilah pemimpin sejati. “Pemimpin sebenar seharusnya sedia untuk berkorban demi kebebasan dan kebahagiaan pengikutnya,” tegas beliau.
Keenam, kasihi musuh dan jika perlu bekerjasamalah dengan mereka. Mandela sering mengatakan: “Jika ingin berdamai dengan musuh anda, bekerjasamalah dengan mereka, kemudian mereka akan menjadi kawan anda.”
Ketujuh, bangkit daripada kegagalan. “Jangan nilai saya hanya dari segi kejayaan. Nilai juga dari segi berapa kali saya gagal dan bagaimana caranya untuk dapat bangkit semula.”
Kisah Mandela setidak-tidaknya mengingatkan kita betapa hidup ini bukan semata-mata tentang diri sendiri sebaliknya berkait rapat dengan orang di sekeliling dan manusia sejagat. Sentiasalah berbuat baik terhadap insan lain di samping meninggalkan legasi untuk kebaikan generasi akan datang.










